Pernahkah anda mendengar pepatah "What matters is how much you save, not how much you earn (Apa yang penting adalah berapa yang anda jimatkan, bukan berapa yang anda perolehi)"? Dalam erti kata lain, mempunyai pendapatan yang lebih tinggi daripada orang lain tidak menjamin kedudukan kewangan anda akan lebih baik daripada kedudukan kewangan mereka jika anda berbelanja lebih daripada apa yang anda perolehi.
Selalunya adalah lebih baik jika anda berbelanja kurang daripada kemampuan anda dan mengamalkan tabiat menyimpan. Namun demikian, di samping menyimpan, seseorang itu juga mesti belajar selain membuat pelaburan. Menyimpan tidak akan menjadikan anda kaya, sebaliknya pelaburanlah yang boleh menjadikan anda kaya. Pelaburan, dari perspektif kewangan peribadi, tidak sempurna jika dilakukan tanpa mengetahui bagaimana untuk mengekalkannya dan mendapatkan pelindung yang baik iaitu insurans.
Dalam artikel ini juga membincangkan bagaimana hendak mengetahui sama ada seseorang itu menghadapi kemelut kewangan. Ini berperanan sebagai semak kendiri kewangan yang tidak boleh diabaikan dalam mengejar kejayaan kewangan peribadi yang sebenar.
Membina Kekayaan
Teruskan membaca dan ketahui lebih lanjut perbincangan dengan lebih mendalam bagaimana membina kekayaan dan pada masa yang sama, merancang untuk mengatasi apa-apa ketidakpastian.
Tabiat Menabung
Menabung untuk masa hadapan sukar dilakukan. Ia lebih daripada mengurangkan perbelanjaan walaupun ini sahaja sudah cukup mencabar. Berapa yang perlu anda simpan, di mana anda perlu menyimpannya dan adakah anda pasti bahawa anda membuat keputusan yang betul? Mari mengetahui bagaimana untuk menetapkan matlamat yang realistik dan mendapatkan manfaat yang lebih banyak daripada wang anda.
Mengikut businessdictionary.com, simpanan adalah sebahagian daripada pendapatan boleh guna yang tidak dibelanjakan untuk barangan konsumer tetapi disimpan, dilaburkan terus dalam peralatan modal, membayar pinjaman perumahan atau membeli sekuriti.
![]() |
| gambar hiasan |
Anda patut membuat simpanan automatik. Pelan tabungan adalah penting dalam perancangan kewangan. Tanpa pelan ini, anda mungkin tidak dapat mencapai matlamat kewangan anda. Cuba menabung sekurang-kurangnya 10% daripada gaji anda setiap bulan. Adalah lagi baik jika anda boleh menabung antara 20% dan 30% kerana ini bermakna anda akan mempunyai lebih wang untuk masa hadapan anda. Ingat, semakin banyak wang ditabung sekarang, semakin mudah untuk mencapai matlamat kewangan anda.
Terdapat beberapa cara menabung peratusan pendapatan bulanan tersebut terus ke dalam akaun simpanan anda. Anda boleh:
a) Menulis cek dan memasukkannya ke dalam akaun simpanan anda setiap bulan;
b) Melakukan pemindahan wang melalui mesin juruwang automatik (ATM);
c) Memindahkan wang dari akaun semasa ke dalam akaun simpanan anda melalui perbankan internet setiap bulan.
Adalah bagus sekiranya anda dapat melakukan salah satu daripada perkara yang tersebut di atas. Walau bagaimanapun, selepas beberapa bulan, anda mungkin terlupa untuk berbuat demikian atau ada alasan untuk membelanjakan wang tersebut daripada menyimpannya dalam akaun simpanan anda. Tabiat menabung anda akan terjejas dan sekiranya ini berlaku, mungkin sukar meneruskan pelan tersebut.
Jadi, bagaimana untuk memastikan anda mengikuti pelan tabungan ini? Mudah saja - adakan tabungan secara automatik!
Berikan arahan kepada bank anda untuk memindahkan sekurang-kurangnya 10% daripada gaji bulanan anda dari akaun semasa anda ke dalam akaun simpanan anda setiap bulan. Aturkan agar pemindahan ini dilakukan sebaik sahaja gaji anda dimasukkan ke dalam akaun semasa anda. Apa yang tidak dapat dilihat atau apa yang tidak ada, anda tidak akan rasa kehilangannya. Pada masa yang sama, wang dalam akaun simpanan akan bertambah, membawa anda lebih hampir kepada matlamat kewangan anda.
Jika kemampuan serta pendapatan anda bertambah hasil kenaikan gaji atau pangkat, beri arahan kepada bank untuk menambahkan jumlah yang dipindahkan ke dalam akaun simpanan anda. Apabila anda berjaya menyimpan jumlah wang yang dikehendaki, pindahkan wang tersebut ke simpanan tetap atau lain-lain simpanan yang memberi lebih pulangan.
Walau bagaimanapun, teruskan pemindahan wang setiap bulan ke dalam akaun simpanan dan jangan berhenti kerana ini mungkin akan menjejaskan tabiat menabung anda. Wang yang anda tabung secara automatik ini boleh digunakan untuk mencapai matlamat kewangan yang lain.
Menambah Nilai Bersih
Membina kekayaan adalah mengenai penambahan nilai bersih anda. Aset tolak liabiliti sama dengan nilai bersih anda, yang mungkin positif (nilai aset melebihi nilai liabiliti) atau negatif (nilai liabiliti melebihi nilai aset).
Oleh itu, kita akan bertumpu pada peningkatan aset melalui simpanan dan pelaburan. Kita akan melihat matlamat pelaburan anda, risiko dan pulangan pelaburan anda serta mempelbagaikan pelaburan anda.
Apabila anda menabung secara berterusan, anda perlu membuat keputusan penting tentang cara melabur wang anda. Bagaimana berbuat demikian? Mudah sahaja, langkah pertama untuk melabur secara berhemat adalah dengan menetapkan matlamat pelaburan anda.
Namun bagaimana caranya untuk menetapkan matlamat pelaburan yang sesuai dengan keperluan anda?
Terdapat pelbagai soalan penting yang perlu anda fikirkan sebelum membentuk matlamat pelaburan anda. Mari kita lihat soalan-soalan di bawah:
i) Apakah matlamat kewangan anda? Kenapa anda perlu menyimpan dan melaburkan wang anda?
ii) Berapa jumlah wang yang anda perlu simpan dan berapa pula jumlah wang yang perlu dilaburkan untuk mencapai matlamat anda?
iii) Berapa lamakah wang perlu disimpan atau dilaburkan untuk mencapai matlamat anda?
iv) Berapa banyak risiko yang sanggup anda tanggung?
v) Berapa banyak pulangan yang anda jangkakan daripada simpanan atau pelaburan anda?
vi) Apakah yang sanggup anda korbankan demi mencapai matlamat ini? Contohnya, menukar gaya hidup atau tabiat perbelanjaan yang sedia ada.
Anda perlu bersikap realistik apabila menjawab soalan-soalan di atas. Ambil kira sumber pendapatan anda dan fikir bagaimana anda boleh menyimpan dan melabur secara konsisten. Matlamat kewangan dan pelaburan anda seharusnya munasabah dan boleh dicapai.
Ingatlah untuk menjadikan matlamat kewangan dan pelaburan anda munasabah serta boleh dicapai.
b) Risiko dan Pulangan Pelaburan
Menyimpan wang dalam akaun simpanan atau simpanan tetap adalah pelaburan yang paling selamat. Pulangan (iaitu kadar faedahnya) adalah rendah berbanding pelaburan lain tetapi ianya tanpa risiko. Anda boleh tidur dengan lena tanpa perlu bimbang tentang pelaburan tersebut.
Namun anda tidak boleh membina kekayaan dengan secepat yang anda inginkan hanya dengan menyimpan wang dalam akaun simpanan atau deposit tetap. Perlu juga diingat bahawa walaupun pelaburan lain dapat memberikan pulangan yang lebih baik, ia juga mempunyai risiko yang lebih tinggi, kerana berkemungkinan besar pelaburan tersebut akan nilainya.
Sebagai contoh, jika anda melaburkan wang dalam pasaran saham,anda akan menghadapi risiko besar untuk kehilangan wang berbanding dengan jika anda menyimpan wang anda dalam akaun simpanan. Harga saham yang turun naik bergantung pada beberapa faktor. Anda mungkin membeli saham sebuah syarikat pada harga RM5 sesaham dan harga tersebut mungkin naik kepada RM7 ataupun turun kepada RM2.
Apabila melaburkan wang, anda sememangnya mengharapkan pulangan. Kadar pulangan atas pelaburan biasanya dikira dalam peratusan tahunan. Jika anda membeli saham pada harga RM10 sesaham dengan harga tersebut naik kepada RM10.80 selepas setahun, kadar pulangannya ialah 8%.
Namun demikian, pulangan sebenar pelaburan adalah selepas menolak segala perbelanjaan yang berkaitan . Sebagai contoh, jika anda membeli rumah dan kemudian menjualnya, anda hanya dapat memastikan pulangan yang diperoleh selepas menolak kos seperti yuran guaman, komisen ejen, duti setem dan faedah pinjaman bank.
Ingat: Apabila memilih pelaburan, semakin tinggi pulangannya, semakin tinggi risikonya.
![]() |
| gambar hiasan |
Bila anda melabur, jangan melaburkan wang anda dalam satu jenis pelaburan sahaja. Jika apa-apa berlaku kepada pelaburan tersebut, semua wang itu akan hilang. Adalah penting untuk mempelbagaikan pelaburan anda.
Oleh itu, tindakan yang lebih bijak adalah untuk meletakkan wang anda dalam pelbagai pelaburan. Dalam erti kata lain, rancang portfolio pelaburan yang seimbang. Melabur dalam pelbagai pelaburan adalah kunci untuk mengurangkan risiko. Bila anda berbuat begini, anda lebih berkemungkinan mendapat keuntungan yang tinggi dari pelaburan anda sambil mengurangkan risiko kehilangan wang anda.
Bagaimana anda melabur ditentukan sebahagiannya oleh profail pelabur anda iaitu sama ada anda pelabur agresif, sederhana ataupun konservatif. Kebanyakan orang berada di pertengahan profail tersebut.
Jika anda merupakan pelabur yang sederhana, mugnkin sebahagian besar daripada wang anda berada dalam kelas aset yang berlainan seperti dana amanah saham dan bakinya pula dalam pelaburan pendapatan tetap seperti simpanan tetap. Jumlah yang diagihkan kepada kepada kelas aset boleh dibahagikan lagi kepada segmen berlainan seperti bon dan dana ekuiti.
Sekiranya anda pelabur yang agresif, anda mungkin akan melabur dalam pelaburan yang lebih aktif seperti pasaran saham.
Namun sebaliknya, jika anda adalah pelabur yang konservatif, anda mungkin mempelbagaikan pelaburan anda dalam pelaburan yang kurang berisiko seperti bon dan simpanan tetap.
Setiap pelabur mempunyai akal masing-masing - tiada dua pelabur yang sama! Cuma anda seorang sahaja yang boleh membuat keputusan tentang pilihan yang bersesuaian serta berapa banyak wang simpanan yang akan dilaburkan dalam pelbagai jenis pelaburan yang terdapat di pasaran.
Jenis-jenis Pelaburan
Tahukah anda bahawa perancangan pelaburan yang baik boleh menukarkan matlamat anda kepada realiti? Ini melibatkan lebih daripada hanya memilih pelaburan yang betul. Mari kita lihat senarai di bawah ini untuk mengetahui apakah jenis-jenis pelaburan yang terdapat di pasaran kewangan.
- Tabung Amanah Pelaburan Hartanah (Real Estate Investment Trust/ REIT).
- Pelaburan tunai dan faedah tetap.
- Saham.
- Dana amanah saham.
- Harta (property).
- Bon.
a) Tunai dan pelaburan faedah tetap
Pelaburan tunai adalah bentuk pelaburan yang paling biasa di Malaysia, yang meliputi produk-produk seperti akaun simpanan bank dan simpanan tetap. Produk-produk ini membolehkan anda mengeluarkan wang anda dengan mudah bila perlu dan anda tidak mungkin kehilangan modal anda, jadi pelaburan jenis ini adalah sangat selamat.
Walau bagaimanapun, pulangan yang diperoleh adalah sedikit dan tiada pertumbuhan modal. Sebenarnya pelaburan ini boleh menjadi berisiko pada jangka masa panjang kerana kesan inflasi yang boleh menghakis nilai pelaburan anda. Untuk kebanyakan pelabur, pelaburan tunai dan pelaburan faedah tetap sesuai untuk:
- Digunakan sebagai akaun urus niaga;
- Menyimpan wang tunai bagi perbelanjaan jangka pendek dan kecemasan; dan
- Memiliki simpanan jangka masa pendek tanpa tanggungan risiko atas modalnya.
b) Saham
Saham (juga dikenali sebagai ekuiti atau syer) mewakili pemilikan dalam sesebuah syarikat. Apabila anda membeli saham, anda menjadi sebahagian daripada pemilik syarikat dan berhak atas nilai masa depan sahamnya dan keuntungannya.
Saham dalam syarikat menawarkan pulangan kepada pelabur melalui dua cara utama:
- Apabila nilai keseluruhan syarikat meningkat, nilai sahamnya juga meningkat.
- Anda boleh memperoleh dividen apabila syarikat membayar sebahagian daripada keuntungannya daripada pemegang saham sebagai pembayaran agihan pendapatan.
Pada umumnya pelaburan saham sesuai bagi pelabur yang:
- Ingin membina asas simpanan untuk matlamat kewangan jangka sederhana dan panjang;
- Mempunyai jangka masa pelaburan yang lebih panjang; dan
- Selesa dengan keadaan saham yang turun naik bagi nilai pelaburan dalam jangka masa pendek, sebagai gantian untuk mendapat pulangan yang tinggi dalam jangka masa panjang (dalam bentuk pendapatan dividen atau pertumbuhan modal).
Dalam amanah saham, wang daripada ratusan pelabur individu akan disatukan untuk membeli beberapa kelas aset yang berlainan, dalam kuantiti yang besar. Pengurus dana profesional akan menentukan peratusan daripada dana yang akan dilaburkan dalam setiap kelas aset, dan mengenal pasti negara, individu dan syarikat yang mempunyai prospek dan pulangan terbaik.
Setiap pelabur akan menerima unit dalam dana ini, setiap unit mewakili campuran pelbagai kelas aset seperti saham, bon dan simpanan tetap. Dana amanah saham adalah bersesuaian bagi mereka yang:
- Baru dalam bidang pelaburan;
- Bersedia mendapatkan khidmat pengurus profesional;
- Mempunyai jumlah permulaan yang kecil untuk melabur (dengan pilihan untuk menambahkan pelaburan dari masa ke semasa); dan
- Mencari kepelbagaian dalam pelaburan untuk meminimumkan risiko.
Kebanyakan rakyat Malaysia biasa dengan aset kelas hartanah. Pelaburan hartanah memanfaatkan pelabur dengan dua cara:
- Nilai modal asas hartanah akan meningkat dalam suatu jangka masa apabila harga rumah dan tanah meningkat; dan
- Pelabur dapat memperoleh pendapatan hasil daripada penyewaan.
Seperti juga saham, harga hartanah boleh turun naik dan ada ketikanya memberi pulangan yang tinggi dan ada ketikanya pula memberi pulangan yang rendah. Oleh itu, pelaburan dalam hartanah adalah sesuai bagi pelaburan jangka masa panjang. Faktor paling penting untuk dipertimbangkan apabila membeli hartanah adalah lokasinya.
- Tidak memerlukan akses kecemasan kepadawang mereka;
- Mempunyai jangka masa pelaburan yang panjang; dan
- Berkeupayaan membayar balik gadai janji jika kadar faedah meningkat atau jika hartanah itu tidak disewa.
i) Bon
![]() |
| gambar hiasan |
Apabila anda membeli bon kerajaan atau bon syarikat, anda "meminjamkan" wang anda bagi jangka masa tertentu pada kadar faedah yang telah ditentukan. Hasilnya, anda menerima pulangan pendapatan yang tetap melalui pembayaran faedah yang juga tetap.
ii) Dana Amanah Pelaburan Hartanah ( Real Estate Investment Trust/ REIT)
![]() |
| gambar hiasan |
Ini sama seperti amanah saham kecuali pelaburan yang dibuat adalah bagi bangunan dan hartanah. Keuntungan daripada pelaburan sedemikian akan diagihkan kepada pelabur dalam bentuk dividen.




