Merancang Untuk Situasi Yang Tidak Diduga

 



👀 Hidup ini ada naik turunnya. Kemalangan dan bencana boleh dan akan berlaku tanpa diduga. Bila perkara sebegini berlaku, kita mungkin merasakan seolah-olah kehidupan kita sudah berada di luar kawalan kita, lebih-lebih lagi bila kita tidak mempunyai persediaan yang cukup untuk menghadapi kemalangan atau bencana tersebut.Tidak kira apa kemalangan atau bencana yang berlaku, biasanya kita akan berasa takut, murung dan bimbang. Bagaimana kita akan menghadapi situasi ini?

Dalam bahagian berikut, kita akan membincangkan beberapa petua untuk menghadapi situasi yang tidak diduga contohnya mengambil insurans, apa jenis insurans yang patut diambil dan apa itu takaful.


Mengapa Insurans Diperlukan

Sebelum anda mengambil insurans, anda mesti memahami apa itu insurans, tujuan insurans dan bagaimana ia melindungi anda. Sekarang mari kita melihat perinciannya.

a) Apakah itu Insurans?

Apabila anda membuat komitmen kewangan seperti membeli sebuah rumah dengan meminjam daripada bank, anda telah "mengunci" sebahagian daripada pendapatan masa hadapan anda. Sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini seperti kematian atau kehilangan upaya, atau bencana ekonomi (pemberhentian kerja), keupayaan anda untuk memenuhi komitmen kewangan ini mungkin terjejas dan anda mungkin akan kehilangan aset yang susah payah anda perolehi.

Terdapat satu instrumen kewangan yang boleh dibeli untuk melindungi anda daripada apa-apa kemungkinan iaitu insurans. Insurans merupakan suatu cara melindungi diri anda, keluarga dan harta benda anda sekiranya berlaku sebarang perkara yang tidak diingini.

b) Tujuan Insurans

Disamping menawarkan perlindungan, insurans juga memberikan anda ketenangan fikiran. Bayaran yang dibuat bagi insurans membolehkan anda:

(i) Membayar ganti rugi bagi barangan peribadi atau mendapat gantian barangan yang telah dicuri (sekiranya barangan tersebut diinsurankan).

(ii) Membayar bil perubatan apabila anda atau keluarga anda menerima rawatan di hospital.

(iii) Menyelenggara perbelanjaan bulanan, hutang dan komitmen kewangan apabila anda tidak lagi berupaya bekerja disebabkan oleh penyakit kritikal atau kemalangan.

(iv) Menyediakan bantuan kewangan bagi keluarga anda sekiranya anda kehilangan upaya, mengalami penyakit kritikal atau meninggal dunia, terutamanya jika anda ketua keluarga yang mencari nafkah bagi keluarga anda.

c) Bagaimana Insurans Berfungsi

Apabila bayaran (lebih dikenali sebagai premium) dibuat kepada syarikat insurans berlesen, maka syarikat tersebut bertanggungjawab membayar pampasan kepada anda sekiranya anda mengalami sebarang kerugian atau kerosakan barangan disebabkan oleh kebakaran, kemalangan dan kecurian. Bagaimanapun insiden-insiden ini mesti berlaku dalam tempoh insurans itu berkuat kuasa dan pampasan yang dibayar terhad kepada jumlah yang diinsurankan.

Syarikat insurans menjual polisi kepada ribuan orang dan premium yang terkumpul menjadi sebahagian daripada dana bersama. Tidak semua orang yang menyumbang akan dilanda nasib malang. Jika ada sekali pun, biasanya bukanlah pada masa yang sama. Maka dana tersebut akan digunakan untuk membantu mereka yang telah menyumbang untuk sama-sama berkongsi risiko.

Industri insurans di Malaysia dikawal selia oleh Bank Negara Malaysia (BNM). Untuk membantu orang awam mengetahui lebih lanjut mengenai insurans, BNM telah mengeluarkan beberapa siri buku kecil yang boleh didapati di cawangan syarikat insurans.


Jenis-Jenis Insurans

Anda boleh menginsuran hampir apa pun. Meskipun begitu terdapat sesetengah perkara yang penting untuk diinsurankan seperti hayat, kesihatan dan harta anda. Berikut menunjukkan jenis-jenis insurans.

  • Insurans Hayat
  • Insurans Am

a) Insurans Hayat

Polisi insurans hayat adalah perlindungan yang membayar sejumlah wang kepada pemegang polisi sekiranya terjadi sesuatu yang tidak diingini kepada pemegang polisi seperti jatuh sakit, hilang upaya atau kematian. Oleh itu, penting bagi anda untuk memiliki insurans terutamanya jika anak atau ibu bapa anda yang telah tua bergantung hidup pada anda. Lazimnya, tempoh perlindungan insurans hayat adalah lebih daripada setahun dan anda mempunyai pilihan untuk membuat bayaran premium secara berkala, sama ada setiap bulan, suku tahun, setengah tahun atau setiap tahun.

Berikut menunjukkan insurans hayat yang utama:

  • Insurans Seumur Hidup
  • Insurans Bertempoh
  • Endowmen
  • Insurans Berkaitan Pelaburan
  • Insurans Perubatan dan Kesihatan
  • Insurans Bertempoh Gadai Janji Berkurangan
Sekarang kita akan memperincikan setiap produk insurans hayat yang utama seperti berikut.

  • Insurans Seumur Hidup

Ia menawarkan perlindungan seumur hidup tetapi anda juga perlu membayar premium seumur hidup. Wang manfaatnya, termasuklah bonus jika ada, akan dibayar setelah sesuatu kematian atau kehilangan upaya yang menyeluruh dan kekal dialami atau penyakit kritikal dihidapi. Oleh sebab polisi ini bersifat jangka panjang, premium yang perlu dibayar adalah lebih tinggi daripada premium untuk insurans bertempoh dan ia mempunyai nilai tunai sepanjang tempoh polisi tersebut berkuat kuasa.

  • Insurans Bertempoh
Polisi ini menawarkan perlindungan insurans bagi tempoh terhad sahaja. Wang manfaat dibayar hanya setelah suatu kematian atau sekiranya pemegang polisi mengalami kehilangan upaya yang menyeluruh dan kekal atau menghidap penyakit kritikal semasa tempoh masa polisi berkuat kuasa. Bayaran yang diterima adalah mengikut jumlah yang dipersetujui semasa polisi tersebut dibeli.

  • Endowmen
Polisi ini menggabungkan perlindungan dan juga simpanan. Ia menyediakan manfaat tunai pada akhir suatu tempoh tertentu atau atas kematian atau kehilangan upaya yang menyeluruh dan kekal. Tempoh polisi ditentukan oleh pembeli polisi.

  • Insurans Berkaitan Pelaburan
Ia menggabungkan pelaburan dan simpanan. Anda boleh memilih jenis dan jumlah pelaburan yang anda inginkan serta jumlah perlindungan insurans hayat yang ingin dimiliki. Jumlah premium adalah fleksibel.

  • Insurans Perubatan dan Kesihatan
Polisi yang melindungi kos rawatan perubatan seperti kos rawatan hospital dan kos pembedahan.

  • Insurans Bertempoh Gadai Janji Berkurangan (Mortage Reducing Term)
Perlindungan insurans yang meliputi pembayaran balik pinjaman pembelian hartanah tertunggak kepada isnstitusi kewangan sekiranya berlaku kematian, kehilangan upaya atau mengalami penyakit kritikal. Institusi kewangan tersebut akan melepaskan hak milik hartanah kepada anda atau waris anda. Premium cuma dibayar sekali sahaja.

  • Insurans Am
Ini dapat melindungi anda daripada kerugian akibat kecurian atau kerosakan kepada barang peribadi anda. Ia juga melindungi anda jika anda menyebabkan kerosakan kepada pihak ketiga, kematian yang tidak disengajakan atau kecederaan dan kemasukan ke hospital. Lazimnya, tempoh perlindungan untuk kebanyakan polisidan pelan insurans am adalah setahun dan pembayaran premium perlu dibuat sekali gus.

Produk/Penjelasan

Kenderaan - Melindungi kenderaan anda daripada risiko kecurian, kemalangan atau kebakaran. Sekiranya anda membeli perlindungan pihak ketiga, anda dilindungi daripada tuntutan yang dibuat oleh pihak ketiga bagi kecederaan atau kematian orang lain (pihak ketiga) termasuklah kerugian atau kerosakan kepada harta pihak ketiga disebabkan oleh kenderaan anda. Jika anda membeli perlindungan komprehensif, anda akan mendapat perlindungan menyeluruh iaitu perlindungan bagi kecederaan dan kematian pihak ketiga, kehilangan dan kerosakan harta pihak ketiga, dan juga kerugian atau kerosakan bagi kenderaan anda sendiri disebabkan kecurian, kemalangan atau kebakaran.

Kediaman - Polisi kebakaran asas memberi perlindungan hanya bagi bangunan akibat kebakaran, kilat atau letupan. Polisi pemilik rumah pula memberi perlindungan tambahan atas bangunan untuk meliputi sebarang kerugian atau kerosakan akibat banjir, paip pecah dan lain-lain bencana. Manakala polisi isi rumah adalah untuk melindungi barang-barang isi rumah seperti perabot dan perkakas rumah daripada kecurian, banjir dan kebakaran. Polisi ini tidak memberi perlindungan terhadap kerosakan rumah itu sendiri.

Perjalanan - Insurans jenis ini memang sesuai dibeli sekiranya anda perlu ke luar negara. Insurans ini melindungi anda daripada insiden yang berkaitan dengan perjalanan seperti penangguhan atau penggangguan waktu perlepasan, kemalangan, kehilangan bagasi, perbelanjaan perubatan dan lain-lain perbelanjaan yang bersangkutan dengan perjalanan.

Barangan peribadi - Insurans ini melindungi barang seperti komputer, telefon bimbit, komputer riba dan kamera daripada kehilangan atau kecurian.



Sebelum memilih polisi insurans, pastikan anda menyelidik bahaya dan risiko yang berkaitan dengan polisi-polisi yang ditawarkan oleh beberapa syarikat insurans yang berlainan.


 

Takaful

Seperti dalam perbankan, di mana anda boleh memilih antara produk dan perkhidmatan bank konvensional dan Islam, industri insurans di Malaysia juga menawarkan insurans konvensional dan takaful.

Takaful adalah pelan perlindungan berdasarkan prinsip Syariah. Dengan mencarum sejumlah wang kedalam dana takaful dalam bentuk caruman penyertaan, anda memeterai kontrak (aqad) untuk membolehkan anda menjadi peserta yang saling membantu antara satu sama lain, sekiranya salah seorang peserta mengalami kerugian tertentu.

Kedua-dua insurans dan takaful mempunyai prinsip asas yang sama. Contohnya, anda mesti mengalami kerugian wang apabila peristiwa yang diinsurankan berlaku. Akan tetapi, walaupun takaful menawarkan produk yang serupa dengan produk insurans konvensional, ia mempunyai beberapa ciri unik seperti berikut:

  • Anda dan syarikat takaful akan berkongsi lebihan dana takaful berdasarkan nisbah yang telah dipersetujui. Jumlah lebihan dana  tersebut akan dikira setelah mengambil kira perbelanjaan seperti tuntutan dana simpanan teknikal, perbelanjaan pengurusan dan takaful semula (re-takaful).
  • Anda berhak ke atas perkongsian lebihan daripada dana takaful sekiranya anda tidak membuat sebarang tuntutan sepanjang tempoh takaful tersebut.

Jenis-jenis Takaful

  1. Takaful Keluarga
  2. Takaful Am
Takaful Keluarga

Ini adalah gabungan perlindungan dan pinjaman jangka panjang. Ia menyediakan manfaat kewangan sekiranya anda mengalami suatu tragedi di samping memberikan keuntungan daripada pelaburan. Pembayaran boleh dibuat setiap bulan, suku tahun, setengah tahun atau setiap tahun. Sekarang, lihat yang berikut untuk jenis-jenis asas takaful keluarga.

Jenis-jenis Takaful Keluarga/penjelasan

Takaful Keluarga Individu
  • Ini termasuk pelan pelajaran, gadai janji dan kesihatan. Anda atau waris anda akan menerima manfaat kewangan sekiranya berlaku kematian atau kehilangan upaya yang kekal.
  • Terdapat juga simpanan jnagka masa panjang dan keuntungan pelaburan yang akan diagihkan sekiranya terdapat tuntutan, tempoh matang atau serahan awal polisi insurans.
Anuiti Persaraan
  • Ia pelan yang memberikan pendapatan tetap selepas anda bersara.
Takaful Berkaitan Pelaburan
  • Gabungan pelaburan dan perlindungan hayat di mana sebahagian daripada caruman anda akan digunakan untuk membeli unit pelaburan dan selebihnya bagi perlindungan takaful sekiranya berlaku kematian atau kehilangan upaya yang kekal.
Takaful Perubatan dan Kesihatan
  • pelan yang melindungi kos rawatan perubatan seperti kos rawatan di hospital dan kos pembedahan.

Takaful Am

Takaful am melindungi anda bagi suatu jangka masa pendek, biasanya selama setahun, bagi sebarang kehilangan atau kerosakan kepada harta atau barangan peribadi anda. Anda hanya perlu membayar sekali sahaja dalam setahun. Berikut menunjukkan jenis-jenis takaful am yang utama.

Jenis-jenis Takaful Am/penjelasan

Takaful Rumah
  • Polisi pemilik rumah melindungi anda daripada kerugian atau kerosakan atas rumah anda akibat banjir, kebakaran dan lain-lain bencana.
  • Polisi isi rumah pula memberi perlindungan terhadap kerugian atau kerosakan kepada kandungan rumah.
  • Anda boleh mengambil salah satu ataupun kedua-dua jenis polisi ini.
Takaful Kenderaan
  • anda dilindungi daripada menanggung kerugian atau kerosakan akibat kebakaran, kecurian atau kemalangan atas kenderaan anda, termasuk juga kecederaan tubuh badan atau kematian pihak ketiga, dan kerosakan atau kerugian harta benda pihak ketiga.
  • Seperti insurans kenderaan am, takaful kenderaan juga mempunyai dua jenis perlindungan-perlindungan pihak ketiga dan perlindungan komprehensif.
Kemalangan Diri
  • Ia menyediakan pampasan kepada anda atau waris anda sekiranya berlaku kematian, kehilangan upaya atau kecederaan yang disebabkan oleh kemalangan.
  • Pelan ini juga boleh dibeli untuk jangka masa yang lebih pendek, sekiranya bila pergi ke luar negara. 

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama

نموذج الاتصال